RAKYAT Malaysia perlu sama-sama memberi sokongan moral kepada atlit Paralimpik negara - sama seperti yang diberikan kepada ahli sukan biasa yang lain, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah.

“Saya harap semua rakyat Malaysia dapat lihat melalui majlis pembukaan rasmi Sukan Paralimpik semalam (kelmarin). Mereka memberi keutamaan kepada pembabitan orang kurang upaya (OKU). Bukan saja atlit tetapi juga penyanyi dan penari.

“Kita yang normal ini sepatutnya buat lebih kepada mereka. Saya rasa dalam keadaan ini, kitalah yang cacat. Sebab kita tidak nampak OKU ni... kalau kita tak dapat bantu, tak tahulah,” katanya, semalam.

Jeanne, yang juga penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), mengadakan perjumpaan dengan atlit Malaysia di Perkampungan Sukan Paralimpik di Beijing, China, semalam.

Turut mengiringi ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob; Duta Malaysia ke China, Datuk Syed Norulzaman Kamarulzaman; Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ab Hakim Borhan dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong.

Menyentuh persediaan atlit Paralimpik negara, Jeanne berkata semua mereka sudah bersedia menghadapi saingan pada temasya Paralimpik kali ini.

“Saya rasa mereka begitu fokus apabila berada di sini. Perdana Menteri pun melihat atlit Paralimpik kita ini bersemangat. Mereka sanggup berusaha keras untuk mencapai kejayaan.

“Walaupun tak mahu letak sasaran kerana tidak mahu beri tekanan kepada atlit. Pak Lah kata atlit Paralimpik kita juga boleh menaikkan nama Malaysia di Sukan Paralimpik,” katanya.